PAPAR: Suasana di pekarangan Hospital Papar menjadi kelam kabut apabila bangunan yang menempatkan stor farmasi terlibat dalam kebakaran, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, sebuah bangunan di hospital berkenaan terbakar dan api sedang merebak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.02 malam dan sepasukan lapan pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi.
BBP Papar turut menerima bantuan daripada BBP Kimanis yang menghantar lima anggota ke lokasi kejadian.
“Operasi pemadaman masih dijalankan. Maklumat akan dikemaskini dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan dalam media sosial, pihak hospital berusaha memindahkan pesakit yang berada di wad berhampiran dengan bangunan stor terbakar.