Bandar Enstek, Nilai berpotensi dibangunkan sebagai pusat logistik negara - Utusan Malaysia

Bandar Enstek, Nilai berpotensi dibangunkan sebagai pusat logistik negara

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Pengagihan Pintar Halal Beku Serantau (Smart RHDC) Golog di Bandar Enstek, Nilai, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah kawasan yang khusus bagi pengoperasian syarikat-syarikat logistik di negara ini dicadang untuk dibangunkan di kawasan Bandar Enstek, Nilai di sini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sehubungan itu beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun supaya satu kawasan tanah dapat disediakan bagi tujuan tersebut di sekitar kawasan berkenaan.

Menurut beliau, Bandar Enstek dan sekitarnya mempunyai potensi cukup besar sebagai pusat logistik utama negara mengambil kira kedudukan yang strategik khususnya berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Apa yang ingin dicadangkan adalah sekiranya dapat disediakan satu tapak tanah kerajaan negeri atau agensi di bawah kerajaan negeri bagi dibangunkan satu pusat logistik negara bagi menarik minat lebih banyak syarikat logistik beroperasi dan berpengkalan di sini.

“Kebanyakan syarikat ini berada di Shah Alam dan Pelabuhan Klang kerana kita tahu dekat dekat Pelabuhan Klang tetapi kawasan sana sudah sesak. Di sini ada kelebihan kerana dekat dengan KLIA dan jika boleh dibangunkan sebagai pusat logistik saya yakin ia dapat menarik kehadiran syarikat-syarikat ini.

“Kelebihan kawasan ini, ia bukan sahaja dekat dengan lapangan terbang tetapi jaringan sistem lebuh raya kita kerana ia terletak di tengah-tengah iaitu untuk ke utara, selatan malah ke arah timur. Jika dapat disediakan tanah untuk konsep sebagai pusat logistik negara, ia sudah tentu dapat menarik banyak pelaburan dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Pengagihan Pintar Halal Beku Serantau (Smart RHDC) Golog di Bandar Enstek, Nilai di sini hari ini.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Golog, Ivan Chin Wen Hao memberitahu, Smart RHDC Golog yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM400 juta itu merupakan hab logistik sejuk beku pintar di negara ini yang akan mentransformasikan proses pergudangan dan penghantaran barang dengan lebih tepat dan cekap.

“Ia juga akan memperkasakan pembekal tempatan dan luar negara untuk mengeksport dan mengimport bekalan sejuk beku sambal memastikan kesegaran produk tersebut.

“Memandangkan lokasi strategiknya kepada laluan kargo udara dan laut, Smart RHDC Golog juga akan menyediakan peluang bagi pengeluar untuk mewujudkan koridor eksport ke Asia Barat dan China sambil menepati piawaian antarabangsa bagi makanan halal,” jelasnya.

Beliau juga sambil itu memberitahu, pembangunan kompleks berkenaan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya