KOTA BHARU: Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos lalu sah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas mengangkat sumpah pada Persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohd. Azmawi,38, atau Awie, mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pukul 9 pagi tadi.
Upacara angkat sumpah turut disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan 44 orang ADUN di Kelantan.
Sementara itu, Mohd. Amar dalam ucapan pembukaan Persidangan DUN Kelantan mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V atas kurniaan darjah kebesaran kepadanya dan beberapa orang ADUN lain.
Kemenangan Mohd. Azmawi daripada Barisan Nasional (BN) sebagai ADUN sekali gus mengubah sedikit kedudukan di dalam DUN Kelantan apabila pembangkang ketika ini mempunyai tiga kerusi iaitu DUN Kota Lama, Galas dan Nenggiri.
Pada PRK Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri menang dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh undian 9,091 undi manakala Mohd. Rizwadi 5,739 undi.