PONTIAN: Mewarisi kerajinan dan ketekunan kedua-dua datuknya, Allahyarham Samidi Harun dan Malek Mapak dalam bidang penanaman nanas kini mengalir kepada cucunya bagi meneruskan legasi keluarga.
Mohamad Asyraf Mohd. Arfah, 30, kini muncul sebagai penanam nanas dalam kalangan generasi muda di Kampung Parit Dato Onn seluas 12 hektar sejak 13 tahun lalu.
Katanya, tumpuannya kepada penanaman nanas moris seluas lapan hektar dengan pasaran ke Singapura selain nanas variety josapine seluas 4 hektar bagi pasaran tempatan dan luar daerah Pontian.
Menurutnya, dia mengambil pendekatan dengan memajak kebun-kebun pemilik penduduk kampung yang tidak ekonomik seperti kebun-kebun kelapa sawit yang tidak lagi dapat mengeluarkan buah.
“Banyak kebun-kebun kelapa sawit yang tua dan tidak berbuah lagi, mahupun kebun-kebun nanas yang tidak lagi dijaga oleh pemilik disebabkan faktor usia, ” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Dato Onn, disini, baru-baru ini.
Anak sulung daripada empat beradik ini sebelum ini pernah berkerja kilang selama lapan tahun namun dengan menjadikan penanaman nanas sebagai kerja sampingan pada hujung minggu dan sebelah petang.
“Tetapi lama-kelamaan saya sudah tidak mempunyai masa untuk menguruskan kebun-kebun nanas yang dipajak dan mengambil keputusan berhenti daripada berkerja kilang,” ujarnya.
Katanya, dia telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat pemborong buah-buahan yang akan membeli sebanyak 5,000 hingga 6,000 biji nanas moris seminggu untuk dihantar ke Singapura.
Bagi memastikan bekalan nanas mencukupi, dia melakukan pengiliran penanaman bagi setiap ekar kebun yang dipajak bagi membolehkan buah nanas dapat memenuhi permintaan sepanjang tahun.
“Bagi setiap satu hektar, sebanyak 12,000 pokok nanas ditanam, di mana benih ( sulur ) nanas diambil dari kebun yang telah mengeluarkan hasil sebelum ini bagi menjimatkan kos jika dibeli dari luar.
“Nanas moris ini akan dapat dituai dalam tempoh 9 bulan dan mempunyai pelbagai gred buah dengan harga yang berbeza seperti gred A (2.40) sebiji, gred B ( RM1.80) gred C (0.90 sen) dan gred D (0.50 sen) sebiji,
“Manakala bagi nanas josapine saya menjualnya dengan harga RM1 biji dengan pemborong biasanya datang sendiri di rumahnya untuk mengambil dalam jumlah 100 hingga 500 biji,” jelasnya. – UTUSAN