PUCHONG : Penghuni asrama di Sekolah Bina Insan, di sini gempar apabila sebuah bilik kediamannya terbakar, awal pagi tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 5.23 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian bersama empat jentera.
“Setibanya di lokasi, didapati terdapat kebakaran melibatkan bangunan asrama ‘Kelas A’.
“Kebakaran itu berlaku di tingkat dua dan menyebabkan kerosakan sebanyak 50 peratus pada struktur bangunan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
“Kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan oleh anggota bomba,” katanya.-UTUSAN