KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan penempatan di asrama dan rumah sewa antara empat alternatif yang dikemukakan bagi menyelesaikan isu pelajar warganegara Malaysia yang tinggal di Thailand merentas Sungai Golok menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah di Rantau Panjang setiap hari Ahad hingga Khamis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, selain itu mereka juga boleh berulang-alik menggunakan laluan sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Menurutnya, mengikut data yang diperoleh daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan semasa mesyuarat bersama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hamzah Ishak semalam, seramai 303 pelajar yang berulang-alik menggunakan pangkalan haram.
“Daripada jumlah keseluruhan pelajar itu, seramai 221 orang bersekolah di sekolah Kementerian Pendidikan manakala 82 orang lagi di Yatasan Islam Kelantan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Yusoff memberitahu, segala arahan dan ketetapan yang dikeluarkan itu bertujuan menjaga keselamatan semua pihak.
Katanya, hal ini kerana pelajar sentiasa berdepan risiko apabila mereka perlu menaiki sampan dan rakit semasa merentas Sungai Golok untuk ke sekolah.
Mohd. Yusoff berkata, pada masa sama mesyuarat dengan MKN itu turut memaklumkan bahawa pihak imigresen di Thailand juga bersetuju untuk melaksanakan pembukaan kaunter ICQS lebih awal iaitu pukul 6 pagi.
Katanya, tindakan itu bertujuan memudahkan pergerakan pelajar ke sekolah.
“Jadi timbul isu pelajar sekolah akan datang lewat ke sekolah sekiranya mereka melalui laluan yang diwartakan iaitu ICQS Rantau Panjang.
“Sebelum ini, kaunter ICQS memang buka pada pukul 6 pagi, namun operasinya diubah kepada pukul 7 pagi selepas pandemik Covid-19,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, larangan aktiviti rentas sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember ini kekal dan terpakai semua penduduk termasuk pelajar.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hamzah Ishak bagaimanapun berkata, mekanisme itu akan dibincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia melibatkan pelajar Malaysia yang tinggal di Thailand dan menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah.