ALOR GAJAH: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berdepan detik cemas sebelum dapat menyelamatkan seekor kubung atau nama saintifiknya sunda flying lemur yang tersangkut pada pagar kawat berduri di Kampung Taboh Naning di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, dua anggota nyaris digigit haiwan berkenaan yang bertindak agresif ketika usaha menyelamat dijalankan untuk melepaskannya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Shahrulnizam Mad Shah berkata, kepala kubung berbentuk lebar dengan muncung pendek seperti anjing pada mulanya disangka spesies keluang.
“Kubung merupakan spesies terancam dan jarang-jarang ditemui, ia didapati cedera pada bahagian kanan badan akibat terkena kawat berduri dan tidak dapat terbang.
“Anggota APM mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menyelamatkan haiwan berkenaan yang agresif ketika dihampiri. Mujur kita bertindak cepat dan berjaya mengelak daripada digigit atau dicakar oleh haiwan itu,” katanya.
Tambah Shahrulnizam, ia merupakan kes pertama diterima pihaknya dan kubung berkenaan disimpan sementara di Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Alor Gajah sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Negeri (Perhilitan). – UTUSAN