PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah terhadap pemergian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Anwar berkata, beliau menerima perkhabaran pemergian Daim sebaik tiba di Lima, Peru.
“Salam takziah buat keluarga Allahyarham. Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau kepada negara terutama semasa menjadi Menteri Kewangan. Al-Fatihah,” katanya melalui hantaran di Facebook miliknya.
Anwar kini berada di Lima bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak APEC 2024.
Beliau turut dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra serta berinteraksi dengan komuniti perniagaan Malaysia dan Peru.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan pemergian ahli politik veteran dan ahli perniagaan itu awal pagi tadi di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
Minggu lalu, Daim dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat serangan strok.