PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Shanghai, perhentian pertama sebelum Beijing, dalam rangka lawatan kerja beliau ke China selama empat hari hingga Khamis ini.
Lawatan itu merupakan jemputan Perdana Menteri, Li Qiang supaya Anwar menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ke-7 (CIIE ke-7) di Shanghai, yang juga hab kewangan global.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Hongqiao pada jam 9.50 malam waktu tempatan.
Ketibaan beliau disambut oleh Duta Besar Malaysia di Beijing Datuk Norman Muhamad dan Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai Syed Farizal Aminy Syed Mohamad.
Turut menyambut ketibaan Anwar ialah Timbalan Datuk Bandar Shanghai dan Setiausaha Parti Daerah Minhang iaitu Chen Yu Jian serta Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Lawatan Anwar ke China diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Di Shanghai, Perdana Menteri dijadual bertemu Li bagi membincangkan isu hubungan dua hala sebagai susulan kepada pertemuan mereka di Putrajaya pada 19 Jun 2024.
CIIE adalah inisiatif Kerajaan China yang menyediakan platform untuk negara-negara yang terbabit dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bagi mempromosi serta mengimport produk dan perkhidmatan ke republik itu. – UTUSAN