PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi menghadiri sesi meja bulat bersama 60 pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Mesir serta delegasi perniagaan Malaysia.
Anwar berkata, sesi tersebut turut dihadiri Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Republik Arab Mesir, Hassan El Khatib.
Menurutnya, pertemuan bersama pemimpin itu dimanfaatkan untuk berinteraksi serta memberi keyakinan kepada mereka mengenai peluang pelaburan di selain penerokaan usahasama perniagaan dan perdagangan dengan syarikat di Malaysia.
“Beberapa peluang dalam industri sawit, automotif, farmaseutikal dan produk perubatan, semikonduktor, sektor digital serta tenaga diperbaharui dibincangkan dalam sesi berkenaan.
“Insya Allah, berdasarkan polisi kerajaan Madani yang jelas serta angka dan penunjuk ekonomi Malaysia yang memberangsangkan, disamping pengiktirafan sebagai hab utama dalam bidang semikonduktor dan tenaga hijau di rantau Asia Tenggara Malaysia mampu memacu pertumbuhan ke peringkat global,” katanya menerusi kenyataan dalam media sosial.