Anak penyanyi mengaku tak salah curi kereta Ferrari - Utusan Malaysia

Anak penyanyi mengaku tak salah curi kereta Ferrari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anak kepada penyanyi utama sebuah kumpulan terkenal era 90-an dan rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mencuri sebuah kereta Ferrari yang ditinggal di pusat cuci kereta di Hulu Klang, dua minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, anak penyanyi itu, Mohd Alif Naim Mohd Azmir, 38, dan rakannya yang juga seorang penganggur, Norqyyum Zainori, 29, didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas mencuri sebuah kereta Ferrari bernilai RM300,000 milik seorang wanita berusia 53 tahun di sebuah pusat cuci kereta di Jalan Hillview, Hulu Kelang dekat sini pada pukul 11.08 pagi, 17 November lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan pilihan iaitu bersama seorang lagi yang masih bebas menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta Ferrari bernilai RM300,000 walaupun mengetahui harta itu adalah harta curi.

Bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Pada prosiding hari ini, Mohd. Alif Naim diwakili peguam bela, Mohd Firdaus manakala Norqyyum diwakili peguam bela, Wan Nur Afifah Che Bakar.

Majistret Amalina Basirah Md. Top kemudian menetapkan ikat jamin RM3,500 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Februari 2025.

Pada 26 November lalu, media melaporkan anak seorang penyanyi tempatan antara enam individu ditahan selepas disyaki terbabit kes kecurian sebuah Ferrari yang ditinggalkan di pusat cuci kereta di Hulu Klang, di sini 17 November lalu.

Mangsa meninggalkan kenderaan mewah berwarna merah itu di premis terbabit beberapa hari sebelum kejadian itu berlaku.

Pada 11 pagi, 17 November lalu, mangsa menyedari kereta berkenaan sudah hilang disyaki dicuri lalu membuat laporan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya