KUALA NERUS: Anak seorang penjaja di ibu kota dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Diraja dalam Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke 16 di sini, semalam.
Norimrana Mujahid Ali, 24, yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berkata, anugerah diterima itu menjadi pembakar semangat untuknya terus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, dia kini bekerja di sebuah firma perakaunan dan akan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana selepas ini.
“Saya bukan orang senang. Ayah saya merupakan seorang penjaja di Kuala Lumpur manakala emak, Siti Noor Omar, suri rumah. Namun, ia bukan penghalang untuk saya berjaya dalam pelajaran,” katanya dalam Majlis Konvokesyen UniSZA Ke-16 di sini, semalam.
Norimrana antara 2,818 graduan yang menerima ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma dalam konvokesyen UniSZA yang berlangsung selama empat hari hingga Rabu ini.
Norimrana yang berasal dari Tumpat, Kelantan berkata, kedua-dua ibu bapanya yang buta huruf sentiasa mendorongnya untuk terus cemerlang dalam bidang akademik. – UTUSAN