KAHERAH: Anak muda Islam perlu diperlengkapkan ilmu keagamaan, termasuk al-Quran, selain ilmu dalam bidang teknologi supaya mereka dapat mengintegrasikan nilai Islam dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, semua pelajar Islam di Malaysia diwajibkan membaca 40 hadis Arbain Imam Nawawi bersama terjemahan, yang merupakan kali pertama dalam sejarah, lapor Bernama.
Kita akan memulakan dengan menyiapkan buku terjemahan, kemudian kita akan mengembalikan semula (apa yang) dibatalkan, termasuk bantuan kepada sekolah agama.
“Bantuan kepada sekolah agama rakyat dibatalkan pada 2003, tetapi setelah kami mengambil alih kerajaan, kami mengembalikan semula bantuan kepada sekolah agama rakyat di seluruh negara,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Al-Azhar di sini, pada Ahad.
Anwar yang tiba di sini Sabtu lalu untuk lawatan rasmi empat hari ke Mesir berkata, kerajaan juga bersetuju menambah bantuan dan biasiswa kepada anak Malaysia dalam bidang ilmu Islam, perubatan dan kejuruteraan.
Beliau berkata, pelajar dari maahad tahfiz juga disalurkan ke bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya mereka dapat mempelajari kemahiran teknologi seperti kejuruteraan serta AI, selain menguasai bahasa Arab dan al-Quran. Malah, ada di antara mereka yang berjaya menjadi juruterbang.
“Ini antara program yang sedang dilaksanakan di Malaysia. Bidang-bidang yang saya sebutkan ini luas dan besar.”
Dalam pada itu, menerusi perbincangan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi bagi meningkatkan hubungan strategik Malaysia dan Mesir ke tahap lebih tinggi, Anwar berkata, kerjasama telah dimulakan melibatkan Petronas dalam penyaluran gas di Mesir serta pengeluaran Proton yang dijangka dilaksanakan di Mesir sebelum akhir tahun ini.- UTUSAN