Amang seksual kanak-kanak madrasah: Empat tertuduh kemuka representasi kedua - Utusan Malaysia

Amang seksual kanak-kanak madrasah: Empat tertuduh kemuka representasi kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak pembelaan yang mewakili empat pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah akan mengemukakan representasi kepada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mempertimbangkan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang dihadapi.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Hanif Hassan yang mewakili keempat-empat tertuduh iaitu, Muhammad Habib Noh Mohd. Zairi, 21; Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, dan Muhammad Fawzun Azim Ismail, 20, semasa sebutan semula kes hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Seremban, Datin Surita Budin.

Sebelum itu, mahkamah telah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi bahawa keputusan representasi pertama yang dikemukakan oleh pihak pembelaan ditolak oleh pihak Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN).

Surita kemudian menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh baharu untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Hanif ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu, representasi kepada pihak AGC bertujuan untuk menyemak semula dan mencadangkan bagi mengurangkan pertuduhan bagi meringankan hukuman dengan mengambil kira usia tertuduh yang di bawah 21 tahun.

“Representasi pertama telah dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk menyemak semula pertuduhan terhadap kesemua tertuduh namun telah ditolak jadi kami akan hantar representasi kedua kepada Ketua Bahagian Pendakwaan AGC,” jelasnya.

Pada 19 September lalu, media melaporkan tiga lelaki yang sebelum ini ditahan dalam Op Global yang mempunyai kaitan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn. Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki di sebuah madrasah di Kuala Pilah di antara tahun 2022 sehingga 2023.

Pertuduhan ke atas semua mereka dibuat di bawah Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan terhadap kesemua pertuduhan, masing-masing tertuduh boleh dipenjara selama tempoh 20 tahun dan boleh juga disebat.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya