AI cuma melengkapi tugas dilakukan tenaga manusia

AI cuma melengkapi tugas dilakukan tenaga manusia

Tugas AI
ANN FRANCKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam sesebuah organisasi dilihat agak ‘perlahan’ berikutan kebimbangan pekerja terhadap keselamatan kerjaya apabila beranggapan teknologi itu mampu menggantikan tugas mereka.

Ketua Eksekutif Institut Pengurusan Bertauliah (CMI), Ann Francke berkata, bagaimanapun AI sebenarnya berperanan melengkapkan tenaga kerja dalam banyak sektor termasuk perkhidmatan dan pekerjaan, bukan mengambil alih keseluruhan tenaga kerja manusia.

Malah katanya, dakwaan AI menggantikan peranan manusia akan menyukarkan sesebuah organisasi khsusunya bagi majikan yang kurang mahir dengan teknologi berkenaan.

“AI tidak boleh menjadi kepada pengganti manusia. Alat itu hanyalah mampu untuk melengkapkan apa yang dibuat oleh manusia atau pekerja dalam mana-mana perkhidmatan sekalipun. Itu hakikatnya.

“Tetapi ramai pengurusan syarikat hari ini berasa bimbang kerana ramai di antara mereka tidak tahu AI,” katanya ketika berucap di Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bekerjasama dengan CMI UK dalam menawarkan program pengurusan dan kepimpinan profesional kepada mahasiswanya, hari ini.

Jelas Francke, AI hanya mampu menjalankan peranan dalam aspek pengisian maklumat sahaja, sebaliknya hanya manusia boleh menentukan kecerdasan sosial dan emosi bagi memastikan tugas yang dilakukan oleh AI tepat.

“Manusia atau kakitangan adalah diperlukan untuk bertindak dalam aspek membuat semakan daripada hasil kerja AI. Malah, manusia juga perlu memastikan tiada sebarang maklumat yang tidak tepat dalam membuat surat khususnya melalui AI.

“Bagaimanapun, jurang yang melibatkan generasi kini dengan kewujudan AI ini amat ketara dalam kalangan pengurus khususnya,” tambahnya.

Tambah Francke lagi, terdapat dua persepsi yang berbeza dalam isu ini dimana pekerja yang lebih muda lebih cenderung untuk menggunakan AI yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti, sementara pekerja yang berumur pula merasakan AI sebagai ‘pesaing’ mereka dan mampu mengambil alih peranan mereka dalam bidang pekerjaan.

“Dalam hal ini, kewujudan AI itu perlu terus dibangunkan dengan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang perkara yang tidak perlu dibimbangkan oleh mausia dan peranan penting oleh manusia itu sendiri dalam menyemak kembali hasil kerja yang dibuat menerusi sistem AI.

“Perlu diingat, mengabaikan AI hanya akan menghalang kemajuan sesebuah organisasi untuk berperanan dengan lebih efektif dan komprehensif,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi Pakar Teknologi UniKL, Diyana Abdul Kadir turut berkata, semua pihak tidak perlu berasa bimbang dengan kewujudan AI kerana beliau memberi jaminan yang ia tidak mampu menggantikan peranan manusia dalam bidang pekerjaan sehingga bila-bila.

“Kalau kita masukkan data yang salah pada AI, hasilnya tetap akan jadi salah dan sebab itu ia tidak mampu untuk mengambil alih peranan manusia sepenuhnya.

“Melainkan ada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan AI ini dengan tidak beretika. Sebab itu kita ada masalah scammer yang berleluasa dan rakyat juga yang menjadi mangsa,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kesedaran orang awam juga telah meningkat terhadap AI, sekali gus berharap ia tidak disalah guna demi kepentingan pihak-pihak tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya