Ahli GISBH seramai 10,500 orang - Utusan Malaysia

Ahli GISBH seramai 10,500 orang

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengikut Global Ikhwan Sdn. Bhd. sehingga kini dianggarkan seramai 10,500 orang dengan 9,000 daripadanya dipercayai berada di dalam negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, kerajaan telah menyediakan pelan tindakan pemulihan terhadap ahli GISBH termasuklah membabitkan kanak-kanak yang ditempatkan di pusat penjagaan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan Kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan lain-lain agensi berkaitan.

“Selain daripada itu, pelan tindakan pemulihan secara sukarela kepada ahli GISBH yang hadir untuk mengikuti sesi pemulihan secara sukarela juga dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (Main/Jain) dan lain-lain agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dimuat naik dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Jawapan itu bagi menjawab persoalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan berapa ramai yang terlibat dalam rangkaian GISBH, apakah rancangan untuk menguruskan mereka dan mengapa kerajaan terlalu lambat mengambil tindakan kepada GISBH yang telah digerakkan selepas pengharaman Al-Arqam 1994.

Dalam menjawab persoalan mengapa tindakan terlalu lambat diambil dalam menangani aktiviti GISBH, Mohd. Na’im berkata, dalam melaksanakan kajian yang komprehensif dan lengkap, ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Katanya, proses mengumpul bahan bukti dan sumber yang diyakini serta boleh disahkan dari sudut perundangan perlu melalui penelitian yang tinggi.

“Lebih-lebih lagi bagi menangani sesuatu amalan atau ajaran yang berselindung di sebalik aktiviti lain yang kelihatan benar dan sah di sisi undang-undang.

“Proses ini tentunya tidak sukar sekiranya sesuatu ajaran atau amalan itu jelas dan terang-terangan bercanggah dengan syariat Islam dan amalan tersebut dapat dibuktikan dengan jelas dan kukuh,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah bertindak mengikut ruang lingkup fungsi dan peranan yang ada dan tidak melakukan sesuatu tugas melangkaui pihak berkuasa lain.

“Namun, kerjasama, khidmat nasihat dan perundingan dengan pihak berkuasa di peringkat persekutuan dan negeri sentiasa dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan proses berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya