ADUN cadang 9 Ogos cuti umum di N. Sembilan, sempena Hari Orang Asli - Utusan Malaysia

ADUN cadang 9 Ogos cuti umum di N. Sembilan, sempena Hari Orang Asli

SAIFUL Yazan Sulaiman pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 pada hari ketiga, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan mencadangkan supaya tarikh 9 Ogos dijadikan sebagai cuti umum di negeri ini sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia.

Datuk Saiful Yazan Sulaiman (BN-Johol) berkata, cadangan tersebut adalah sebagai tanda kerajaan meraikan kedudukan golongan penduduk asal tersebut.

“Di Johol kami mempunyai tiga perkampungan Orang Asli dan saya sebagai wakil mereka di Dewan yang mulia ini cuba sedaya untuk berjumpa dengan mereka sebanyak yang mungkin.

“Hasil cadangan daripada masyarakat Orang Asli yang saya temui, saya mencadangkan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan Hari Orang Asli Sedunia yang disambut pada 9 Ogos setiap tahun sebagai hari cuti umum kepada negeri ini.

“Ia supaya kita gambarkan bahawa kita semua meraikan mereka sebagai penduduk asal di negeri kita selain menyemarakkan semangat perpaduan serta kemakmuran di negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 pada hari ketiga, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu berharap, kerajaan negeri dapat memastikan komuniti Orang Asli tidak terpinggir ketika fokus diberikan kepada pembangunan moden.

“Negeri Sembilan mempunyai lebih 4,000 penduduk Orang Asli yang tinggal di 43 kampung berdaftar. Saya menyambut baik peruntukan RM315,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) untuk program kemasyarakatan, tetapi dirasakan ia mungkin perlu ditingkatkan lagi.

“Saya juga mencadangkan supaya satu mekanisme atau garis panduan rasmi perlu dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri dengan memastikan tanah-tanah yang digazetkan untuk orang Asli sentiasa dilindungi. Ia dengan memastikan tanah-tanah mereka tidak terlibat daripada sebarang ancaman seperti pembangunan yang tidak dirancang dengan rapi dan hanya menguntungkan pihak pemaju semata-mata,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya