6,646 pegawai kanan, pegawai rendah PDRM dihukum tatatertib dalam tempoh empat tahun - Utusan Malaysia

6,646 pegawai kanan, pegawai rendah PDRM dihukum tatatertib dalam tempoh empat tahun

AYOB Khan Mydin Pitchay menyampaikan ceramah sempena Sambutan Hari Integriti Peringkat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Kompleks Bandaraya Kuantan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 6,646 pegawai kanan dan pegawai rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan hukuman tatatertib atas pelbagai kesalahan dalam tempoh empat tahun bermula 2020 sehingga 30 September lalu.

Daripada jumlah itu, 613 dibuang kerja, 120 dikenakan tindakan turun pangkat, 641 daripadanya dilucut hak emolumen, 68 diturunkan gaji, 152 ditangguh pergerakan gaji dan 5,052 membabitkan lain-lain tindakan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap anggota agensi penguatkuasa itu yang melakukan kesalahan bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap polis.

“Itu yang selalu saya tekankan. Kita mengambil tindakan jangan mengira pangkat, tidak kiralah kedudukannya sebagai apa pun, pegawai atau anggota, kalau terlibat, ada susunannya.

“Jika kesalahan itu serius, kita serah kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Kita jangan campur tangan. Kalau SPRM tidak cukup bukti atau kalau kita cukup bukti kita buka untuk siasatan jenayah.

“Yang ketiga, barulah tindakan tatatertib dalaman. Jangan utamakan tindakan dalaman dahulu. Kalau kuat, kita serah kepada SPRM. Baru ada impaknya. Kalau tidak impaknya tidak akan ada,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena Sambutan Hari Integriti Peringkat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Kompleks Bandaraya Kuantan di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan perasmiannya oleh Setiausaha MBK mewakili Datuk Bandar, Mohd. Nizam Mahayudin.

Ayob Khan berkata, PDRM juga tidak boleh hanya fokus kepada kes kecil sahaja sebaliknya harus memberi tumpuan kepada kes lebih besar.

“Kalau kes besar, bukan kita tidak ambil, kita ambil tapi kurang. Itu yang menyebabkan yang bawah tidak yakin dengan kita. Ibarat macam ketam mengajar anaknya berjalan. Kita pun tak betul, macam mana pula kedudukan yang bawah itu.

“Fokus yang atas yang ambil RM3 juta atau RM4 juta (rasuah) sebulan. Itulah yang kita nak pastikan meringkuk dalam penjara. Barulah orang takut. Kalau tidak, impaknya tiada… macam tiada apa-apa, macam jadi budaya yang semua orang buat.

“Ketegasan itu penting kalau kita nak memulihkan kembali keyakinan masyarakat kepada PDRM. Orang nak tengok tindakan tegas,” katanya. – UTUSAN


 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN