57 peratus pemegang sijil halal babit syarikat bukan Bumiputera - Utusan Malaysia

57 peratus pemegang sijil halal babit syarikat bukan Bumiputera

MOHD. NA'IM MOKHTAR/IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 57 peratus atau 5,449 syarikat yang memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah dalam kalangan syarikat bukan Bumiputera setakat semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, berdasarkan rekod terkini, jumlah keseluruhan SPHM adalah sebanyak 9,520 syarikat.

Katanya, hanya 40 peratus atau 3,803 pemegang SPHM adalah di kalangan syarikat Bumiputera manakala tiga peratus lagi atau 268 adalah membabitkan syarikat milikan asing.

“Dalam usaha untuk menarik lebih ramai pengusaha Bumiputera memiliki sijil halal, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa mencari pendekatan terbaik bagi mencapai matlamat tersebut.

“Kerjasama strategik dengan pihak yang berkepentingan seperti MARA, TERAJU, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan agensi pembimbing sudah dilaksanakan dari semasa ke semasa sama ada dalam bentuk sesi libat urus, penganjuran program bimbingan dan kesedaran serta lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan Aminolhuda Hassan (PH – Sri Gading) yang mengajukan soalan meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan pihak Jakim menarik lebih ramai pengusaha Bumiputera dalam memiliki sijil halal bagi produk mereka.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, Jakim juga telah melaksanakan beberapa siri perbincangan dengan GIATMARA di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi pelaksanaan program pengiktirafan pensijilan halal.

Katanya, langkah itu bertujuan memperkukuh kesedaran serta kefahaman pelatih GIATMARA mengenai keperluan pensijilan halal.

“Usaha ini seiring dengan aspirasi memperkasakan sektor latihan vokasional Bumiputera yang berdaya saing dalam industri halal. Hasil kerjasama JAKIM – GIATMARA ini, sebanyak enam pusat latihan GIATMARA Berjaya memperolehi pensijilan halal bagi skim premis makanan pada tahun 2024.

“Ini menandakan satu pencapaian awal yang membanggakan dan menyediakan asas untuk perluasan pensijilan Halal di beberapa pusat Latihan GIATMARA pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, Jakim, MAIN dan JAIM akan terus merangka kerjasama strategik dengan semua pihak berkepentingan bagi meningkatkan jumlah penglibatan usahawan Bumiputera dalam pensijilan Halal.

“Perbincangan bersama Agensi Pembimbing akan terus dilaksanakan bagi memastikan hasrat ini tercapai. Antara perancangan khusus yang telah disusun pada masa ini ialah mensasarkan 12 lagi pusat GIATMARA untuk mendapatkan pensijilan Halal bagi skim premis makanan menjelang tahun 2025.

“Selain itu, Jakim juga merancang untuk meneruskan pelaksanaan program Halal on Track (HoT) di beberapa lokasi yang telah dikenalpasti bersama Main dan Jain tahun depan.

“Program berskala besar yang menjadi platform untuk mendapat maklumat dan bimbingan pensijilan halal ini dijangka akan terus mendapat sambutan daripada usahawan dan pihak industry,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya