RANTAU PANJANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan merampas 50 kilogram (kg) keratan ayam sejuk beku dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang semalam.
Rampasan itu dilakukan selepas Maqis Kelantan menahan sebuah van yang dipandu lelaki Thailand berusia lingkungan 40-an semasa melalui kawasan tersebut.
Ketua Pintu Masuk Maqis Rantau Panjang, Mohd. Suhaimi Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai 24 paket keratan ayam sejuk beku dibahagian bekalang van tersebut.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bahan mentah itu dibawa masuk tanpa Permit Import Maqis, Sijil Kesihatan Veterinar dan Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import Maqis menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Suhaimi memberitahu, pihaknya akan terus melaksanakan penguatkuasaan terhadap barangan yang dibawa masuk ke negara ini bagi mengelakkan isu-isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak.-UTUSAN