KEPONG: Dua pusat hiburan beroperasi tanpa lesen diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain menahan 48 orang termasuk warga asing menerusi Op Noda baru-baru ini.
Dua serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hasil risikan dan maklumat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira 11.30 malam pada 31 Oktober lalu dengan menahan seramai 25 orang terdiri seorang warga tempatan dan 24 warga asing di sebuah rumah kedai di Desa Aman Puri, di sini.
“Polis turut merampas komputer riba dan peralatan hiburan serta wang tunai RM528.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1959, Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) 1997 Selangor dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1963.
“Kesemua tangkapan ditahan reman kali pertama empat hari sebelum warga tempatan disambung reman sehari lagi manakala warga asing direman imigresen selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, serbuan kedua dijalankan pada 1 November lalu, kira-kira di sebuah rumah kedai di Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong.
“Dalam serbuan itu, polis menangkap seramai 23 orang yang terdiri daripada dua warga tempatan dan 21 warga asing.
“Turut dirampas peralatan hiburan dan wang tunai RM175,” katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1959, Seksyen 6(1) EHDTTH 1997 Selangor dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1963.
“Suspek warga tempatan diberi jamin polis selepas direman sehari manakala warga asing direman imigresen selama 14 hari.
“Kedua-dua pusat hiburan ini, didapati beroperasi tanpa lesen dan dalam siasatan pihak polis untuk tindakan undang-undang ke atas pemilik dan pengurus perniagaan ini,” katanya.- UTUSAN