KUALA LUMPUR: Sebanyak 43 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi (TBBT) yang berjumlah kos keseluruhan sebanyak RM10.45 bilion sudah diluluskan untuk pelaksanaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementeriannya melalui JPS komited melaksanakan projek TBBT.
“Sejumlah 43 projek TBBT telah diluluskan untuk pelaksanaan oleh JPS dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM10.45 bilion sehingga September lalu.
“JPS sudah mengeluarkan sebanyak 31 Surat Setuju Terima (SST) dan baki 12 projek sedang dalam proses perolehan berdasarkan kepada tatacara dan prosedur kewangan yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memintanya untuk menyatakan apakah perkembangan terkini 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.