MELAKA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima sebanyak 370 permohonan penggantian MyKad hilang melebihi tiga kali bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini di Melaka, meningkat 16 peratus berbanding 318 permohonan tahun lalu.
Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman berkata, antara alasan yang sering diberikan pemohon adalah terlupa tempat penyimpanan, tertinggal dan tercicir.
Kata beliau, segelintir pemohon turut bertindak membuat laporan polis palsu kononnya mendakwa menjadi mangsa jenayah bagi mengelak membayar denda RM1,000.
“Kita kelaskan permohonan penggantian MyKad hilang kepada tiga kategori iaitu cuai, jenayah dan bencana. Hilang disebabkan kejadian jenayah dan bencana diberikan pengecualian denda.
“Majoriti kes yang kita kenal pasti disebabkan kecuaian membabitkan individu berusia 25 tahun hingga 40-an. Bagaimanapun, ada segelintir individu sanggup membuat laporan polis palsu kerana tidak mahu membayar denda,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka JPN Bersama Media 2024 di sini, hari ini.
Tambah Norazle, situasi itu agak membimbangkan kerana pemilik MyKad terdedah kepada risiko penyalahgunaan oleh pihak lain.
Beliau memaklumkan, JPN Melaka telah melakukan 28 operasi setakat Oktober lalu dan sebanyak 12 kes membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan dokumen pengenalan diri dihasilkan.
Menurutnya, satu daripada kes tersebut melibatkan penggunaan MyKad palsu sementara selebihnya membabitkan pemalsuan dokumen semasa kelahiran.
“Selain itu, JPN Melaka mencatatkan 168 kes daftar lewat kelahiran manakala daftar lewat Mykad sebanyak 41 kes dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN