PETALING JAYA: Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) merekodkan sebanyak 3,602 kes bankrap di kalangan penjawat awam sejak 2020 hingga September tahun ini.
Berdasarkan rekod Mdl, sebanyak 1,009 kes direkodkan pada tahun 2020, 678 kes (2021), 621 kes (2022), 628 kes (2023) dan 666 kes sehingga September tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sentiasa memandang serius isu muflis dan hutang di kalangan kalangan penjawat awam.
Katanya, ketua jabatan di setiap kementerian dan jabatan bertanggungjawab untuk memantau dan menilai semula keupayaan pegawai yang mempunyai keterhutangan serius, untuk membayar hutang mereka dari semasa ke semasa.
“Peraturan Berkaitan Penyelenggaraan Taraf Kehidupan dan Keterhutangan Kewangan yang Serius, antara lain memperuntukkan bahawa bagi tujuan had potongan gaji, pendapatan bersih pegawai awam hendaklah berada sekurang-kurangnya pada paras minimum 40 peratus daripada emolument bulanan pegawai, melainkan terdapatnya pinjaman perumahan dan Pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (GPS-Serian) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha dan tindakan kerajaan dalam menangani masalah peningkatan kes muflis di kalangan penjawat awam yang semakin membimbangkan.
Azalina berkata, antara peranan Unit Integriti yang diwujudkan di setiap kementerian dan jabatan kerajaan adalah untuk memantau pegawai yang menghadapi keterhutangan kewangan serius berdasarkan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Katanya, selain teguran dan amaran, penjawat awam yang terlibat juga diberikan bantuan kaunseling kewangan untuk membantu mereka menambahbaik pengurusan kewangan bagi mengelakkan situasi muflis dan tindakan tatatertib.
“Kerajaan juga tekad menjalankan pemantauan berterusan terhadap status keterhutangan serius dalam kalangan penjawat awam melalui Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang dirancang untuk tempoh 2021 hingga 2025 dengan menyediakan langkah-langkah pencegahan, pendidikan dan penguatkuasaan yang kukuh untuk memastikan integriti dan ketelusan untuk mengurus kewangan dalam kalangan penjawat awam,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi menangani kes muflis dalam kalangan penjawat awam, Mdl sentiasa komited dalam melaksanakan usaha untuk menjalankan program kesedaran berkenaan implikasi kebankrapan ke atas penjawat awam.
Katanya, MdI turut memberikan khidmat nasihat dan penerangan berkenaan pelepasan kebankrapan di bawah inisiatif Dasar Peluang Kedua yang dibentangkan pada Belanjawan 2024, memberi manfaat kepada pelepasan kebankrapan dalam kalangan penjawat awam dan memberi peluang kedua untuk memperbaiki pengurusan kewangan dan taraf kehidupan.
“Kerajaan juga melalui MdI turut mengambil inisiatif dengan memberikan taklimat mengenai implikasi kebankrapan dan program kesedaran pengurusan kewangan termasuklah kepada penjawat awam yang baharu menyertai perkhidmatan awam dan menerapkan kesedaran kewangan seawal penjawat awam memasuki kerjaya,” katanya.