KUANTAN: Sebanyak 32 kediaman penduduk di tanah rancangan Felda Panching Utara di sini rosak dalam kejadian ribut di sini petang semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati hujan lebat beserta angin kencang itu memusnahkan struktur kediaman termasuk menerbangkan bumbung rumah penduduk.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu merupakan kali kedua melanda kawasan berkenaan dalam tempoh enam bulan ini.
Penduduk setempat, Mohd. Yusop Abu Sudin, 36, berkata, ketika rumahnya dihempap pokok, dia dan keluarga sedang berehat dalam rumah.
“Kira-kira pukul 3.30 petang itu, saya terdengar bunyi pokok terangkat hingga menyebabkan ia tumbang dan tidak menyangka rupa-rupanya akan menghempap rumah saya.
“Walaupun bumbung rumah ranap, saya bersyukur kerana anak saya, Amir Rahman, 15, terselamat daripada dihempap pokok rambutan yang tumbang itu,” katanya yang merasakan kejadian tersebut paling buruk dialami keluarganya.
Seorang lagi penduduk, Norasmariza Mustafa, 49, berkata, ribut kuat kira-kira lima minit menyebabkan bumbung tercabut dan siling rumah runtuh.
“Ketika kejadian saya sedang bersiap-siap untuk pulang ke Jengka, tiba-tiba datang ribut kuat hingga menerbangan bumbung rumah.
“Dalam sekelip mata habis ranap namun dengan keadaan tersebut saya bersyukur kerana kami masih selamat walaupun berada dalam rumah ketika kejadian,” katanya.
Pengurus Felda Sungai Panching Utara, Mohd. Hanif Jusoh@Talib berkata, proses penanaman semula pokok kelapa sawit di kawasan itu sedang giat dilakukan dan berkemungkinan ia menjadi antara penyumbang kejadian ribut di tanah rancangan tersebut.
“Apabila proses tanaman semula, pokok-pokok yang tinggi yang bertindak memecah angin telah tiada… yang tinggal hanya pokok-pokok renek maka berkemungkinan punca angin yang kuat dan tidak sempat untuk memecah.
“Dianggarkan kerugian sesebuah keluarga atau rumah antara RM2,000 hingga RM5,000. Dengan itu, bantuan susulan akan diberikan secara berperingkat dengan kerjasama kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd. Tarmizi Yahya turut hadir menghulurkan bantuan awal bagi meringankan beban mangsa. – UTUSAN