SEREMBAN: Seramai 3,079 orang graduan dari 11 program pengajian akan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Kali Ke-22 yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 3 sehingga 6 Disember ini.
Bertemakan Menerajui Integrasi Ilmu bakal graduan ini akan diraikan dengan penuh adat istiadat dan majlis akan disempurnakan oleh Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Baginda turut akan berangkat mencemar duli bagi pemasyhuran serta perisytiharaan Pro-Canselor Baharu USIM dan seterusnya berkenan untuk menganugerahkan ijazah kepada para graduan pada sidang pertama.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, daripada 3,079 graduan tersebut, seramai 104 orang merupakan graduan Doktor Falsafah (PhD), 119 merupakan graduan Sarjana, 174 orang graduan Diploma Siswazah serta 2,682 lagi merupakan graduan program Sarjana Muda.
“Daripada jumlah keseluruhan penerima graduan itu pada majlis konvokesyen kali ini seramai 2,682 jumlah graduan menerima Sarjana Muda manakala seramai 397 jumlah graduan menerima Siswazah.
“Sementara, graduan siswazah dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencatatkan jumlah tertinggi graduan mengikut negara dengan seramai 23 orang yang masing-masing seramai 17 penerima graduan bagi PHD dan enam graduan bagi Sarjana,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, pada majlis yang sama Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) (Pengajian Bahasa Arab) akan dianugerahkan kepada bekas Duta Besar Malaysia iaitu Tan Sri Dr. Ismail Ibrahim.
“Turut menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Dakwah dan Pengurusan Islam ialah Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir.
“Sementera itu, gelaran Profesor Emeritus turut akan dikurniakan kepada Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad dari Fakulti Sains dan Teknologi,”katanya.
Majlis konvokesyen yang melibatkan tujuh sidang tersebut turut menyaksikan pengurniaan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor kategori siswazah, Anugerah Lembaga Pengarah Universiti dan Anugerah Pingat Emas Naib Canselor.-UTUSAN.