KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri merampas 30 ketulan mampat dipercayai ganja bernilai RM93,000 menerusi serbuan di kawasan Pintu Tiga, Bukit Batu Putih (Sempadan Malaysia-Thailand), di sini, pada Selasa minggu lalu.
Pengarah JKDM negeri, Ismail Hashim berkata, menerusi serbuan sekitar pukul 8.30 malam itu, pihaknya menemukan dua bungkusan guni berwarna putih ditinggalkan berhampiran pagar sempadan dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan selama 10 minit di lokasi berkenaan namun tiada mana-mana pihak dikesan mengambil bungkusan guni berkenaan.
“Kita hanya tunggu selama 10 minit bagi mengesan mana-mana suspek kerana serbuan tersebut dilakukan pada waktu malam di kawasan yang sensitif dan berbahaya.
“Selepas itu pasukan penguatkuasa telah bertindak beredar meninggalkan lokasi bagi mengelakkan sebarang insiden bahaya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, berdasarkan siasatan awal, guni berisi ganja seberat 30.145 kilogram itu dipercayai dicampak dari kawasan Thailand melepas pagar sempadan negara.
Katanya, bungkusan yang dicampak itu dipercayai akan diambil oleh individu lain yang akan bertindak menunggu di kawasan sempadan.
“Berdasarkan jumlah berat dadah diperolehi itu, ia dianggarkan boleh diedarkan kepada lebih 150,000 orang penagih dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Ismail berkata, sepasukan anggota JKDM cawangan penguatkuasaan Kuala Perlis turut menemukan sejumlah rokok pelbagai jenis disyaki tidak berkastam menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Daihatsu Gran Max, di sebuah pusat beli belah sekitar Alor Setar, Kedah, pada 7 November lalu.
Katanya, menerusi pemeriksaan pada pukul 10.30 pagi itu, pihaknya merampas 299 karton rokok dianggarkan bernilai RM32,180 dengan melibatkan cukai sebanyak RM70,406.
“Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan meninggalkan kenderaan dalam keadaan tidak berkunci di mana ia akan diambil oleh individu lain.
“Rokok merupakan barangan larangan dan tertakluk di bawah permit import sebagaimana ditetapkan dalam Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.-UTUSAN