TELUK INTAN: Tiada yang lebih bermakna bagi penduduk Taman Dato’ Nazri, Sungai Manik pada sambutan Deepavali tahun ini apabila mereka menerima kunci rumah idaman masing-masing baru-baru ini.
Menurut Nagamah Viran, 75, penantiannya selama 13 tahun untuk memiliki kediaman yang selesa akhirnya tercapai.
“Semestinya seronok kerana sudah lama tunggu duduk rumah baharu, lagi-lagi menjelang Deepavali,” katanya semasa ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Perakku Taman Dato’ Nazri, Sungai Manik, Teluk Intan di Dewan Majlis Daerah Teluk Intan Langkap di sini baru-baru ini.
Majlis itu menyaksikan seramai 28 pemilik rumah menerima serahan kunci dengan keluasan 850 kaki persegi yang lengkap dengan tiga bilik tidur.
Dalam pada itu, Yesotha Kanthan, 53, berkata, pendapatannya dan suami tidak mencukupi untuk membeli rumah komersial dalam pasaran.
“Suami hanya seorang pekerja ladang kelapa sawit sementara saya pekerja kilang dengan pendapatan tidak seberapa jadi memiliki rumah dengan harga RM70,000 seunit ini sesuatu yang menggembirakan.
“Buat masa ini saya tidak sempat untuk berpindah lagi kerana baru mendapat kunci hari ini (semalam) tetapi saya lega kerana impian memiliki rumah sendiri tercapai. Terima kasih kerajaan negeri dan LPHP,” katanya. – UTUSAN