PETALING JAYA: Pindaan undang-undang Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan lebih berkesan terhadap pemilik akaun keldai yang jumlahnya direkodkan sebanyak 227,396 sejak tahun 2015 hingga Oktober lalu.
Akaun keldai kini bukan sahaja melibatkan individu namun kebelakangan ini ia mula bertopengkan entiti perniagaan yang sah seperti syarikat dan perniagaan (enterprises) sekali gus membabitkan kerugian dalam amaun lebih besar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memberitahu Utusan Malaysia, pelbagai kaedah digunakan oleh sindiket penipuan untuk mendapatkan akaun keldai iaitu bagi akaun keldai milik individu, sindiket membuat tawaran membeli akaun-akaun tersebut dengan pembayaran secara sekali bayar dengan harga RM50 hingga RM500 untuk satu akaun.
Kata beliau, terdapat juga pemilik akaun yang diperdaya untuk membuka akaun baharu sebelum akaun itu diserahkan kepada pihak sindiket.
“Contohnya dalam kes-kes pinjaman tidak wujud, mangsa akan diarah untuk membuka akaun bank baharu dan menyerahkan butiran akaun tersebut kepada pihak sindiket sebelum wang pinjaman diserahkan.
“Namun apa yang berlaku, apabila butiran akaun diserahkan, mangsa tidak menerima wang pinjaman sebaliknya akaun bank atas nama mangsadigunakan pula sebagai akaun keldai,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket penipuan kini cenderung untuk menggunakan akaun keldai yang didaftarkan atas nama syarikat dan perniagaan.
Jelas beliau, antara kaedah yang dikesan digunakan untuk mendapatkan akaun keldai adalah melalui penawaran jawatan kosong di platform media sosial.
“Mangsa yang berminat seterusnya ditawarkan jawatan selaku pengarah syarikat dan dikehendaki mendaftar syarikat serta membuka akaun bank bagi syarikat tersebut. Sebagai imbalan, mangsa dijanjikan gaji bulanan atau bayaran secara sekali bayar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ramli berkata, kewujudan Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D) dan Seksyen 116D sekali gus dapat mensasarkan pesalah ke arah pertuduhan yang lebih berfokus dan tidak menggunakan pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Kecil (Minor Offences Act) atau Seksyen 29(1) yang digunakan sebelum ini.
“Kini, orang ramai tidak aboleh membenarkan kad mereka digunakan individu lain, walaupun untuk sementara. Malah, usaha sedang dibuat untuk meletakkan liability jenayah terhadap sesiapa yang merekrut individu bagi membuka akaun bank untuk dijadikan keldai akaun,” kata beliau.
Ramli berkata, sebelum ini, kebanyakan pemilik akaun keldai akan dituduh di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Seksyen 424 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, kata beliau, dengan berkuatkuasanya pindaan baharu terhadap Kanun Keseksaan, tindakan yang lebih tegas boleh dikenakan terhadap mereka yang terlibat.
“Sebagai makluman, pindaan undang-undang ini melibatkan penambahan peruntukan tambahan merangkumi Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D Kanun Keseksaan.
“Peruntukan ini adalah berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan akaun keldai termasuklah memiliki, mengawal menyerahkan dan menggunakan kad ATM, kad kredit, e-wallet dan sebarang instrument pembayaran,” kata beliau. – UTUSAN