21,000 komuniti terima manfaat Hari Komuniti MyPlus

21,000 komuniti terima manfaat Hari Komuniti MyPlus

MyPlus
ALEXANDER Nanta Linggi bergambar bersama sukarelawan MyPLUS dan pelajar pada Hari Komuniti MyPLUS dekat Sekolah Kebangsaan Hicom, Seksyen 27, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 21,000 komuniti setempat di jajaran lebuh raya kendalian Plus Malaysia Berhad (Plus) menerima manfaat menerusi Hari Komuniti MyPlus yang berlangsung serentak di seluruh negara, hari ini.

Program kemasyarakatan di 25 lokasi terpilih itu memfokuskan aspek keselamatan dan kelestarian yang disertai lebih 1,250 sukarelawan termasuk warga Plus serta penuntut institusi pendidikan tinggi (IPT).

Pengerusi Plus, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, MyPlus yang dilaksanakan sejak 2013 itu menjadi acara tradisi syarikat diteruskan pada setiap tahun yang didedikasikan kepada warga kerjanya untuk turun padang bersama komuniti di sepanjang jajaran Lebuhraya Plus.

“Program ini bukan saja menggalakkan budaya sukarelawan malah memupuk semangat berpasukan dan daya kreativiti tinggi bagi aktiviti kemasyarakatan.

“Kami sentiasa komited memfokuskan kesejahteraan sejajar dengan misi Plus iaitu menghubungkan komuniti untuk masa hadapan yang selamat dan lestari,” katanya pada program itu di Sekolah Kebangsaan (SK) HICOM, Seksyen 27, di sini.

Terdahulu, program komuniti itu dirasmikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dengan turut dihadiri Pengarah Urusan Plus, Datuk Nik Airina Nik Jaffar.

Menurut Mohamad Nasir, MyPlus kali ini melibatkan program di lapan buah sekolah, 11 kemudahan komuniti setempat dan enam pusat rekreasi.

“Ia antaranya meliputi kerja membaik pulih kemudahan sekolah dan masjid, pemasangan papan tanda keselamatan serta lampu jalan dan mengecat lintasan pejalan kaki. Selain itu, kami membaik pulih jalan dan sistem perparitan, menanam pokok serta membersihkan sungai, taman rekreasi dan pantai,” ujarnya.

Tambah beliau, Plus membantu menambah baik kemudahan SK HICOM bagi keselamatan dan keselesaan lebih 1,400 murid, guru dan warganya.

“Bantuan itu antaranya menambah baik sistem perparitan, gelanggang serbaguna dan penggantian meja serta kerusi kantin. Lukisan mural di dinding utama kantin dan pelekat keselamatan jalan raya turut menjadi aktiviti utama bagi advokasi dan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya,” jelasnya.

Sementara itu, Alexander berkata, kolaborasi strategik antara Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Plus mencerminkan semangat Malaysia Madani dalam meningkatkan kualiti hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Program murni ini disifatkan berskala mega kerana ia memberi manfaat kepada di komuniti terpilih di sepanjang lebuh raya. Secara keseluruhannya, ia telah memberi manfaat kepada lebih 80,000 orang sejak 2013 dan perlu diteruskan lagi pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya