KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan penyaluran peruntukan kepada 205 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM24.8 juta sejak menerajui inisiatif itu pada Jun 2023.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, bagi 2024 kementerian itu telah diperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi inisiatif itu.
Jelasnya, setakat 30 September lalu, KPKT telah menerima sebanyak 1,074 permohonan dan daripada jumlah tersebut, pihaknya telah meluluskan 422 permohonan melibatkan peruntukan sebanyak RM46.1 juta.
“Kerajaan Madani melalui Belanjawan 2025 memperuntukkan sejumlah RM50 juta lagi untuk meneruskan Inisiatif RIBI.
“Sehubungan itu, KPKT mensasarkan sejumlah 200 RIBI untuk menerima sumbangan penyaluran peruntukan dengan jumlah maksimum RM250,000 bagi setiap RIBI.
“Sasaran 200 RIBI akan bertambah sekiranya jumlah yang dimohon tidak melebihi had maksimum yang ditetapkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang memohon KPKT menyatakan statistik permohonan serta kelulusan projek dan berapa jumlah yang telah dibelanjakan bagi program RIBI mengikut pecahan negeri untuk tahun 2023 dan 2024.