200,000 ke Thailand sebulan

200,000 ke Thailand sebulan

PILIHAN makanan dan barangan yang murah menjadi antara punca rakyat Malaysia berterusan bercuti ke Thailand khususnya Hatyai setiap bulan. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Trend rakyat Malaysia bercuti ke Thailand khususnya Hatyai masih berterusan de­ngan dianggarkan 100,000 sehingga 200,000 pelancong dari negara ini mengunjungi negara gajah putih itu setiap bulan.

Jumlah tersebut hanya dikira secara purata dengan jumlah pelancong terus meningkat khususnya cuti hujung minggu, musim cuti persekolahan dan cuti umum.

Malah, dalam tempoh tiga hari dari Jumaat sehingga Ahad baru-baru ini iaitu ketika cuti Deepavali, lebih 90,000 pe­ngunjung Malaysia bercuti di Thailand terutama di lokasi tumpuan seperti Hatyai, Songkhla, Satun dan Krabi.

Kerancakan sektor pelancongan di Thailand yang menjadi fenomena tersebut menyaksikan kemasukan 4.8 juta pelancong Malaysia tahun lalu dengan tahun ini pula dijangka bakal mencecah sehingga lima juta pengunjung.

Seterusnya dianggarkan le­bih RM4 bilion duit rakyat negara ini mengalir ke negara jiran sepanjang tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, Thailand khususnya di kawasan lima wilayah selatan terus menjadi pilihan pengunjung Malaysia.

Menurut beliau, fenomena tersebut dijangka berterusan memandang Thailand sentiasa ke depan dalam mempromosi sektor pelancongan selain menjadi pilihan kerana makanan serta barangan yang murah.

Selain itu, katanya, lokasi-lokasi pelancongan di negara ini juga sentiasa ditambah baik serta diketengahkan tempat-tempat baharu menarik.

“Meskipun nilai mata wang Thailand ketika ini sedikit le­bih tinggi berbanding Malaysia namun apabila barangan dan makanan yang murah ia tidak terlalu memberi kesan kepada pengunjung Malaysia.

“Thailand menjadi pilihan apabila ramai memberi maklum balas positif seperti makanan, barangan murah, layanan yang baik, tempat menarik dan mo­den seperti kafe-kafe baharu yang sentiasa menepati citarasa pengunjung.

“Secara purata pengunjung atau keluarga berbelanja ketika bercuti di Thailand adalah antara RM600 sehingga RM3,000,” katanya.

Pintu sempadan negeri ini dan di Bukit Kayu Hitam, Kedah baru-baru ini di sini mengalami kesesakan apabila rakyat negara ini mengambil peluang cuti sambutan Deepavali.
Dalam pada itu, kadar tuka­ran mata wang Ringgit Malaysia (RM) dengan Thai Baht ketika ini pula RM100 bersamaan 780 bath.

Dalam pada itu, antara tarikan lain dalam tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini adalah seperti pasar minggu di Khlong Ngae yang menjadi lubuk atau ‘syurga’ barangan terpakai yang menjadi tumpuan pengunjung.

Pasar minggu setiap Sabtu itu terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mendapatkan barangan terpakai seperti pakaian, kasut serta beg berjenama termasuk untuk kanak-kanak serta pelbagai barangan lain dengan harga yang cukup murah.

Sementara itu, Aida memberitahu, rakyat Thailand mengunjungi Malaysia juga menunjukkan peningkatan da­ripada 300,000 tahun lalu kepada 500,000 tahun ini.

Katanya, antara lokasi yang menjadi tumpuan rakyat Thailand bercuti adalah seperti di Cameron Highland, Genting Highland, Kuala Lumpur, Me­laka, Pulau Pinang dan pelbagai destinasi lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya