14,500 pelajar, kakitangan USIM terima manfaat kutipan zakat, infak - Utusan Malaysia

14,500 pelajar, kakitangan USIM terima manfaat kutipan zakat, infak

DR. Mushaddad Hasbullah (kiri sekali) mengiringi Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof. Dato. Dr. Adnan Mohamed Yusoff (tengah) melancarkan Tabung Endowmen Ibnu Ummi Maktum USIM pada Majlis Apresiasi Barakah PWZ 2024 di USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sekurang-kurangnya seramai 14,500 pelajar dan kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima manfaat hasil lebih RM2 juta kutipan zakat korporat dan infak daripada 25 penyumbang syarikat korporat bagi tahun ini.

Sumbangan itu diterima melalui Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM yang kemudiannya mengagihkan kepada penerima dalam kalangan pelajar dan kakitangan menerusi ratusan program yang dianjurkan pihak university.

Pengarah PWZ USIM, Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah berkata, sumbangan zakat, wakaf dan infak yang diterima berkenaan telah dapat meringankan beban pelajar-pelajar USIM yang 60 peratus daripadanya berasal dari keluarga yang berpendapatan rendah.

“Sumbangan kesemua penyumbang memberi manfaat yang sangat besar kepada warga kampus, terutama pelajar-pelajar kami yang memerlukan sokongan kewangan. 

“Pada tahun ini kami telah menyalurkan bantuan zakat kepada seramai 1,807 orang asnaf dengan jumlah bantuan sebanyak lebih RM1.26 juta melalui bantuan kesihatan, pendidikan dan bantuan sara hidup. 

“USIM juga telah menyalurkan dana zakat melalui bagi 79 program fisabilillah berjumlah RM386,519. Sumbangan ini tidak termasuk bantuan infak untuk perubatan, makanan, bencana, program Ihya Ramadan dan bantuan khas untuk pelajar Palestin yang berjumlah RM171,839, “katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Barakah PWZ 2024 di USIM, Nilai di sini, hari ini. 

Sementara itu, kata Mushaddad, setiap sumbangan yang diberikan, sama ada melalui zakat, wakaf, atau inisiatif-inisiatif endowmen adalah tanda keprihatinan penyumbang terhadap usaha memperkasa pendidikan Islam dan membela nasib masyarakat. 

“Saya melihat dengan jelas bagaimana sumbangan-sumbangan ini menjadi sumber kekuatan kepada pelajar-pelajar kami dan membuka peluang yang lebih luas kepada mereka untuk berjaya tanpa dibebani kekangan kewangan. 

“Sesungguhnya, apa yang anda sumbangkan hari ini bukan sekadar bantuan kewangan tetapi ia adalah amanah yang akan terus memberi manfaat berpanjangan, dunia dan akhirat,”katanya. 

Pada majlis tersebut juga, turut dilancarkan Tabung Endowmen Ibnu Ummi Maktum USIM yang merupakan sebahagian daripada usaha USIM untuk memperluaskan manfaat endowmen kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan sokongan dalam pelbagai aspek.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya