KUALA LUMPUR: Sejumlah 14 Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) menghadapi kelewatan pelaksanaan berikutan menghadapi masalah pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, terdapat 26 projek RTB secara keseluruhan di seluruh negeri Pantai Timur dengan kos berjumlah RM8 bilion.
“Daripada jumlah tersebut, satu sudah siap iaitu projek RTB Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pahang. Manakala 10 dalam peringkat pra pelaksanaan.
“Daripada 10 ini, lima sudah diiklankan untuk mendapatkan tender manakala lima lagi masih dalam proses reka bentuk. 15 lagi projek RTB dalam proses pelaksanaan. Yang berada dalam peringkat pelaksanaan, satu projek mengikut jadual dan 14 projek menghadapi masalah disebabkan masalah pengambilan tanah yang agak lewat dan juga pengalihan utiliti.
“Kita sedang menyelesaikan masalah tanah dan diharapkan dapat diselesaikan segera. Daripada 14 yang menghadapi kelewatan, kita sudah beri lanjutan masa,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) minta Petra menyatakan apakah langkah drastik Kementerian dalam menyelesaikan kelewatan projek tebatan banjir dan kesan langsung daripadanya dalam menghadapi jangkaan banjir besar di seluruh negara, khususnya di Pantai Timur.
Berhubung kelewatan projek tersebut, Fadillah berkata, pihaknya mengikuti apa yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan melalui pekeliling yang membolehkan lanjutan masa diberikan kepada kontraktor.
“Selain itu, kita juga akan mengadakan mesyuarat dengan lebih kerap bersama pihak kontraktor untuk memastikan pelaksanaan ini dapat disegerakan malah pemantauan secara rapi akan dilaksanakan.
“Pada masa sama, sebagai penyelesaian jangka pendek, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan kerja-kerja kecil di bawah projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir dengan peruntukan RM77 juta yang telah disalurkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 2022 dan 2023,” katanya.
Selain itu, katanya, sebanyak 1,050 sebut harga dengan skop utama kerja-kerja pengaluran sungai dan juga kerja-kerja penstabilan tebing sungai serta menaik taraf struktur sungai bagi meningkatkan kualiti air sungai.
“Bagi tahun ini, RM16.8 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 391 sebut harga yang dijangkakan siap pada Disember 2024,” katanya.