KULAI : Sebanyak 11 premis perniagaan dikendalikan oleh warga asing di Taman Bintang Utama, Senai di sini diarahkan ditutup serta-merta kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dalam operasi khas, kelmarin.
Operasi dianggotai penguat kuasa Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) itu, turut mengeluarkan 14 notis arahan hadir ke MPKu kepada pemilik premis untuk memberikan keterangan lanjut dan mengisi borang Aku Janji Menjalankan Perniagaan dan sembilan notis kerana tidak mematuhi peraturan ruang siar kaki.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dalam satu kenyataan, di sini turut mengarahkan semua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT), turun padang membuat pemeriksaan dan operasi yang sama terhadap pemegang lesen perniagaan.
“Pemilik lesen dilarang menyalahgunakan lesen bagi tujuan menyerah pemilikan lesen kepada orang lain, terutamanya warga asing. Operasi itu perlu diteruskan bagi memastikan semua pihak mematuhi syarat dan undang-undang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN