KUALA LUMPUR: Sejumlah 100 juruaudit halal diluluskan pada Belanjawan 2025 bagi menambah baik sistem e-halal serta pelaksanaan audit fi yang dikutip oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk proses pensijilan halal.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zulkifli Hasan berkata, fi yang telah dikutip oleh Jakim meningkat dari saban tahun, direkodkan pada 2023 menunjukkan peningkatan yang sangat meyakinkan iaitu kira-kira RM12 juta.
Jelasnya, banyak program telah dilaksanakan bagi memberi kefahaman tentang pensijilan halal kepada premis yang memohon sijil itu.
“Jadi, daripada 2012 sehingga 2023 jumlah fi yang dikutip adalah melebihi RM80 juta. Ini menunjukkan satu perkara yang baik. Daripada fi ini, banyak program telah kita laksanakan untuk memberi pencerahan (tentang pensijilan halal).
“Antaranya, program bimbingan ‘Halal On Track’ yang diadakan di Johor, Pahang serta Wilayah Persekutuan dan akan diteruskan. Kita menyediakan fasiliti dan klinik halal yang membimbing industri dan premis untuk mendapatkan sijil halal.
“Selain itu, kita juga ada menjalankan kerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk membantu (premis) mendapatkan sijil halal di premis Rehat dan Rawat (RnR),” katanya Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) sama ada kerajaan bercadang untuk melaksanakan audit bebas berhubung kutipan fi.