Young Tigers kecundang lagi, tewas 2-4 kepada India - Utusan Malaysia

Young Tigers kecundang lagi, tewas 2-4 kepada India

PEMAIN Young Tigers, Adam Ashraf dan Aqilrullah Che Nur menghalang pemain India, Singh Arshdeep pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor di Stadium Johor, Taman Daya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Skuad hoki remaja kebangsaan terus gagal mengutip sebarang mata dalam kempen Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 apabila tewas kepada India dengan keputusan 2-4 dalam perlawanan ketiga.

Perlawanan suku pertama menyaksikan India bermula garang dengan bola lebih banyak berada di kawasan skuad negara, sekali gus menghasilkan beberapa percubaan awal.

Namun, Young Tigers lebih bernasib baik apabila gerakan yang dimulakan pada minit ke-8 berjaya disempurnakan Muhammad Danish Aiman menjadikan kedudukan 1-0.

Malaysia nampak bakal menguasai permainan apabila pukulan sudut penalti oleh Harris Osman pada minit ke-9 berjaya menewaskan penjaga gol India, Bikramjit Singh, sekali gus menyaksikan Malaysia mendahului 2-0.

Kegembiraan tuan rumah bagaimanapun direntap apabila India diberikan pukulan sudut penalti dua minit kemudian yang mudah disempurnakan Sharda Nand Tiwari menjadikan kedudukan 1-2.

India tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan jaringan penyamaan menerusi Arshdeep Singh apabila berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan padang pada minit ke-13.

Malaysia terlepas peluang mendahului permainan apabila dua pukulan sudut penalti masing-masing pada suku kedua dan ketiga gagal disempurnakan, sedangkan India terus mengasak sebelum berjaya mendahului 3-2 menerusi percubaan Talem Priyobarta pada minit ke-39.

Pasukan pelawat terus menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Rohit pada minit ke-40 menjadikan kedudukan 4-2.

Perlawanan suku akhir kelihatan seimbang apabila kedua-dua pasukan membuat asakan demi asakan sehingga berjaya mendapat pukulan sudut penalti masing-masing, namun kedudukan itu kekal sehingga tamat masa penuh perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan India terus menerajui kedudukan enam pasukan bertanding dengan sembilan mata daripada tiga perlawanan, manakala Malaysia berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Terdahulu, perlawanan petang tadi menyaksikan Australia menundukkan Jepun dengan keputusan 5-1, manakala New Zealand seri 1-1 menentang Great Britain.

Pada perlawanan pertama skuad Young Tigers di SOJC 2024 menentang New Zealand, mereka tewas 2-3, manakala dalam perlawanan kedua menentang Jepun turut tewas dengan keputusan 1-4. _ UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya