YKM tampil bantu kehidupan empat beradik - Utusan Malaysia

YKM tampil bantu kehidupan empat beradik

ISMAIL Sabri Yaakob menyantuni empat beradik yang kini tinggal bersama datuk mereka Taman Bukit Mutiara, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kehidupan empat beradik di Taman Bukit Mutiara di sini diselubungi kesedihan sejak ibu yang dicintai mereka meninggal dunia pada 2021 akibat Covid-19.

Episod sedih M. Ranjini, 17, serta tiga lagi adiknya iaitu; Sumen Raj, 15; Kishor Raj 14 dan Bhuvana, 10, berterusan apabila terpaksa menumpang teduh di rumah datuk mereka, S. Gunasigaram, 61, yang uzur dan tidak bekerja.

Adik-beradik yang telah terputus hubungan dengan bapa kandung mereka sejak sembilan tahun yang lalu, kini perlu bergantung ihsan dengan ibu saudara mereka, G. Magies.

Prihatin dengan nasib keluarga itu dan bagi menceriakan mereka dalam menyambut Deepavali tidak lama lagi, Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan.

Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, YKM memperuntukkan sebanyak RM10,900 setahun bagi meringankan beban empat adik-beradik itu.

“Mereka berhadapan dengan dugaan yang cukup besar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Situasi ini pasti akan memberikan kesan jangka panjang kepada anak-anak ini jika kita tidak memberikan perhatian yang serius kepada masa depan mereka. 

“Kita tidak boleh menutup mata atau mengabaikan nasib anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19 seperti ini yang berada di sekeliling kita,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyantuni empat beradik itu di rumah datuk mereka di Taman Bukit Mutiara di sini, hari ini.

Tambah beliau, selain empat beradik itu, YKM turut memberikan sumbangan kepada sembilan lagi keluarga  bagi merayakan sambutan Hari Deepavali yang merupakan perayaan penting bagi komuniti Hindu di negara ini.

Sembilan keluarga tersebut yang terdiri daripada lima keluarga di Selangor, dua keluarga di Negeri Sembilan, dan dua buah keluarga lagi di Melaka dan Pahang akan menerima sumbangan serupa pada hari ini dan akan dikreditkan ke akaun masing-masing.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, YKM yang ditubuhkan pada tahun 2021 memperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun untuk terus membantu hampir 1,000 anak-anak yatim dan yatim piatu merentasi agama dan bangsa melalui Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pengurusan. 

Pada masa yang sama, katanya, YKM kini sedang melaksanakan pemutihan data bagi mengemaskini maklumat diri dan keluarga penerima bantuan melalui borang yang telah dihantar menerusi emel dan aplikasi WhatsApp.

“Pengemaskinian maklumat diri dan keluarga ini perlu bagi memudahkan penyaluran bantuan dan program untuk tahun 2025,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN