Warga Bangladesh maut trak pikap yang dia pandu terbabas

Warga Bangladesh maut trak pikap yang di pandu terbabas

KEADAAN trak pikap dipandu warganegara Bangladesh yang maut kemalangan dk Kilometer 94, Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Kelantan semalam.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang pekebun warganegara Bangladesh maut selepas trak pikap yang dipandunya terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 94, Jalan Gua Musang-Lojing di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa yang dikenali Nurnabi, 32, maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala semasa melompat keluar daripada trak pikap jenis Toyota Hilux untuk menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, siasatan mendapati, mangsa sedang dalam perjalanan dari Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang menghala ke arah Gua Musang.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum merempuh penghadang besi.

“Kemalangan itu menyebabkan trak pikap tersebut terbabas ke kanan jalan dan bergesel dengan tembok batu penghadang.

“Mangsa dipercayai melompat keluar dari trak pikapnya semasa kenderaan itu bergesel pada tembok batu penghadang berkenaan sejauh 200 meter sebelum trak pikap tersebut berhenti dengan sendiri,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, tindakan lelaki itu menyebabkan dia mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN