Wanita pandu SUV dituduh bunuh tiga pelajar UiTM

Wanita pandu SUV dituduh bunuh tiga pelajar UiTM

NORIZAN Ismail dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun, Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang peman­du wanita dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tiga pertuduhan membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, minggu lalu.

Norizan Ismail, 49, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian. Pendakwaan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

Mengikut pertuduhan, Norizan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai, hadapan UiTM Kampus Dungun di sini pada 9 Oktober lalu, pukul 7.35 malam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya merangkap Pengarah Pendakwaan Negeri, Azizan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd. Redhuan Shah Edwin.

Bagaimanapun, tiada pe­ngakuan direkodkan.

Sepanjang prosedur itu, tertuduh yang berpakaian lokap berwarna oren dilihat dalam keadaan resah dan sugul.

Ketika berada di kandang tertuduh, Norizan menyatakan dirinya malu dan enggan berdiri ketika diminta jurubahasa untuk menyebut nama dan nombor kad pengenalannya.

Wanita yang mempunyai tiga anak itu bagaimanapun kemudiannya mengesahkan maklumat peribadinya yang ditayangkan di skrin televisyen mahkamah.

Mahkamah kemudian me­ngarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor selama sebulan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 November ini.

Dalam kejadian itu, wanita tersebut yang memandu ken­deraan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pula mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Dungun sebelum dibenarkan keluar, Ahad lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, wa­nita itu didakwa atas kesalahan membunuh kerana wujud elemen jenayah ketika kejadian.

Katanya, arahan itu dike­luarkan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa wanita berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Menurut beliau, buat masa ini, wanita itu juga dilayan seperti pesalah normal kerana tiada rekod kesihatan lampau mengesahkannya mengalami masalah mental.

“Biasanya kejadian (kemalangan) didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 tetapi AGC berpendapat tertuduh kes ini didakwa mengikut Seksyen 302 KK.

“Ketika berlakunya rempuhan, tertuduh mungkin dalam keadaan sedar, tidak memberhentikan kenderaan serta menyeret mangsa lebih 100 meter. Jadi wujud unsur-unsur bunuh.

“Netizen perlu berhenti memberi komen negatif sebaliknya biar mahkamah putuskan keberatan kesalahan dilakukan tertuduh,” katanya.

Mohd. Khairi berkata, seramai 11 saksi termasuk suami tertuduh, Azhar Ahmad, 53, dipanggil memberi keterangan membantu siasatan nahas berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya