Wanita Indonesia antara 69 individu mangsa tipu syarikat pelaburan babit RM40 juta

Wanita Indonesia antara 69 individu mangsa tipu syarikat pelaburan babit RM40 juta

PENIPUAN pelaburan mata wang asing melibatkan sekitar RM40 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita Indonesia antara 69 individu yang menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang asing membabitkan sebuah syarikat dipercayai berpangkalan di Labuan sehingga mereka kerugian kira-kira RM40 juta.

Wanita itu dikenali sebagai Suzy berkata, dia kerugian RM4.2 juta (1.3 juta dolar Singapura) selepas menyertai pelaburan itu.

Dia mendakwa, pelaburan berkenaan telah diperkenalkan oleh kenalannya yang juga warga Indonesia pada 2020.

“Saya tertarik menyertai pelaburan itu kerana rakan memaklumkan syarikat itu adalah miliknya bersama seorang lagi individu warga Indonesia.

“Jadi, saya percaya pelaburan forex dilakukan oleh syarikat itu mempunyai lesen selain ditawarkan keuntungan sebanyak 20 peratus daripada jumlah modal pelaburan yang diterima secara tahunan,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Suzy merupakan tujuh individu yang hadir pada hari ini membuat laporan mewakili 69 mangsa dari tiga negara iaitu Indonesia, Singapura dan Brunei.

Mengulas lebih lanjut, katanya, selain melabur untuk diri sendiri, dia juga ada mengajak rakan lain untuk menyertai pelaburan berkenaan.

Katanya, dia teruja apabila menerima keuntungan pada tahun pertama dan kedua menyertai pelaburan berkenaan.

“Pada tahun pertama dan kedua, kami ada menerima keuntungan termasuk dapat mengeluarkan modal menyebabkan lebih banyak pelaburan dibuat.

“Namun, sejak tahun lalu, kami tidak menerima keuntungan dijanjikan. Malah modal juga tidak dapat dikeluarkan selain akaun pelaburan berkenaan tidak boleh ditutup,” jelasnya.

Suzy berkata, wakil syarikat memberikan pelbagai alasan termasuk lesen mereka digantung oleh kerajaan Malaysia.

“Keadaan ini menyebabkan kami merasa tertipu dan tampil membuat laporan polis di sini memandangkan pelaburan dibuat melalui pembayaran ke dua akaun bank di Malaysia atas nama syarikat berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, syarikat pelaburan berkenaan pernah disiasat polis selepas pihaknya menerima aduan daripada 500 pengadu tempatan membabitkan kerugian berjumlah kira-kira RM100 juta sebelum ini.

Kata beliau, aduan diterima MHO kali ini adalah daripada mangsa-mangsa pelaburan yang berada dari tiga negara berkenaan penipuan yang dilakukan syarikat sama.

“Modus operandi syarikat ini adalah menggunakan lesen broker pelaburan yang didaftarkan di Labuan untuk menarik mangsa menyertai seolah-olah ia dilakukan secara sah dan mempunyai lesen,” jelasnya.

Justeru itu, beliau menggesa supaya pihak polis dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil tindakan undang-undang sekali lagi terhadap pihak terbabit.

“Kes ini perlu ditangani segera kerana kita tidak mahu ia menjejaskan imej negara sehingga Malaysia dilihat sebagai lubuk penipuan kepada pihak luar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya