Wanita dipenjara 5 tahun, lacurkan ibu hamil 3 bulan

Wanita dipenjara lima tahun, lacurkan ibu hamil tiga bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang wanita kekal menjalani hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan melacurkan seorang wanita tempatan berusia 19 tahun yang ketika itu hamil tiga bulan pada 2018.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian secara sebulat suara terhadap Yap See Yah selepas menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan pada 4 Januari lalu.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin bagaimanapun membenarkan rayuan terhadap hukuman dan mengurangkannya daripada penjara 10 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

“Pengurangan hukuman bukan bermaksud mahkamah memandang ringan kesalahan perayu. Kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana mangsa ditipu, dimanipulasi sepenuhnya, diawasi secara ketat serta dipaksa melacurkan diri.

“Pengurangan tempoh pemenjaraan dibuat setelah kami mempertimbang secara teliti dari pelbagai sudut termasuk peranan sandaran yang dimainkan perayu dalam membantu pelaku utama iaitu suaminya sendiri (tertuduh kedua),” ujar Hakim Azmi dalam alasan penghakimannya.

Pada asalnya, perayu dan suaminya didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pindaan iaitu bersama-sama memperdagang mangsa bagi maksud eksploitasi seks dengan mengancamnya menggunakan paksaan dan kekerasan kira-kira pukul 5 pagi, 18 Mei 2018 di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama dekat sini.

Dalam penghakimannya, Hakim Azmi berkata, Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika menerima masuk tangkap layar perbualan mesej antara perayu dan mangsa (eksibit D26) sebagai keterangan yang mana ia tidak sepatutnya dijadikan eksibit kerana ia gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Akta Keterangan 1950.

Mahkamah turut berpuas hati, keterangan mangsa bahawa dia diperalatkan untuk tujuan seks, diperkuatkan lagi melalui keterangan tambahan salah seorang pelanggan (SP4) bahawa dia ke kondomininium itu untuk mendapatkan khidmat seks dan membayar RM500 kepada suami perayu.

“SP4 saksi yang bebas, kredibel dan boleh dipercayai, jadi tiada sebab dia berbohong dan menganiaya perayu serta suaminya, malah tiada keperluan untuk pihak pendakwaan membuktikan SP4 benar-benar melakukan hubungan seks dengan mangsa,” ujar beliau dalam penghakiman bertulis bertarikh 23 September lalu yang diperoleh pihak media daripada laman web mahkamah hari ini.

Naratif kes pendakwaan menyatakan, mangsa yang mengandung tiga bulan berlepas dari Pulau Pinang ke ibu negara menaiki bas untuk bekerja sebagai pelayan selepas mengetahui pekerjaan itu melalui Facebook.

Setibanya di stesen bas Terminal Bersatu Selatan (TBS), mangsa dijemput oleh suami perayu dan dibawa ke sebuah rumah untuk berbincang dengan wanita itu berkaitan pekerjaan dan pendapatan sebelum perayu dan suaminya kemudian menghantar mangsa ke sebuah kondominium dan mula bekerja melayan pelanggan pada malam itu di sebuah hotel dan seterusnya menawarkan khidmat seks kepada tiga lagi pelanggan sehingga hari ketiga.

Namun pada hari kedua, mangsa memberitahu perayu dan suaminya bahawa dia mengandung dan tidak mahu lagi meneruskan pekerjaan itu, namun kondominium itu dikunci bagi mengelaknya melarikan diri manakala pintu dibuka hanya untuk menerima pelanggan.

Mangsa kemudian menghubungi talian 999 menerusi telefon bimbitnya yang menyebabkan sepasukan polis menyerbu kondominium berkenaan dan mangsa dihantar membuat pemeriksaan di sebuah pusat perubatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN