TUMPAT: Cubaan seorang wanita berusia 23 tahun menyeludup gula pasir ke negara jiran mengundang padah selepas dia ditahan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu di pangkalan haram Paija di sini semalam.
Penahanan wanita tersebut pada pukul 6 petang menerusi Op Taring Wawasan Kelantan membawa kepada rampasan gula seberat 140 kilogram (kg) yang ditemukan dalam kereta jenis Perodua MyVi.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM15,410.
Menurutnya, kesemua hasil rampasan diserahkan kepada kompeni taktikal (Komtak) Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup gula pasir tersebut ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.-UTUSAN