Wang RM280,000 lesap, wanita terpedaya sindiket panggilan telefon - Utusan Malaysia

Wang RM280,000 lesap, wanita terpedaya sindiket panggilan telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang eksekutif sebuah syarikat berputih mata apabila wangnya berjumlah RM280,000 lesap selepas dia terperdaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa seorang wanita berusia 32 tahun membuat laporan polis petang kelmarin dan memberitahu pada mulanya dia telah menerima panggilan telefon daripada individu menyamar pegawai polis dengan nama Inspektor Yong.

“Mangsa diberitahu telah terlibat dalam dua kes iaitu sewa kad bank dan cuci wang haram. Mangsa menafikan hal tersebut dan sama seperti kes sebelum ini, panggilan berkenaan disambungkan kepada pegawai polis lain.

“Kali ini, mangsa berhubung dengan individu menyamar sebagai Dato’ Chin dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan dimaklumkan telah menjumpai 200 kad pengenalan dan salah satunya adalah kad pengenalan milik mangsa,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Chang Hook lagi, mangsa menafikan pembabitan dalam jenayah tersebut namun diberitahu pihak polis mahu menjalankan siasatan terperinci kewangannya.

“Individu itu kemudian meminta mangsa untuk membuat pindahan semua wang mangsa di dalam akaun bank bagi audit untuk memastikan dana pengadu bersih dan tidak terlibat dengan pengubahan wang haram. 

“Mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM280,000 ke dalam enam akaun yang berbeza. Selepas itu mangsa telah dihubungi untuk membuat bayaran tambahan tetapi mangsa tidak membuat sedemikian kerana rasa curiga.

“Mmangsa kemudiannya membuat panggilan ke IPK Melaka untuk membuat semakan dan dimaklumkan telah ditipu oleh orang yang tidak dikenali melalui panggilan telefon,” katanya lagi.

Mangsa yang merasa tertipu telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya