Wan Rosdy minta ahli parlimen Pahang bangkit isu R&R LTU di Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

Wan Rosdy minta ahli parlimen Pahang bangkit isu R&R LTU di Dewan Rakyat

WAN ROSDY Wan Ismail (baju putih) menyampaikan sumbangan elaun kepada pemimpin masyarakat Orang Asli dalam Program 'Retreat' Kepimpinan Masyarakat Orang Asli sempena Hari Orang Asli Sedunia peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Ahli parlimen di negeri ini diminta membangkitkan isu pembinaan hentian rehat dan rawat (R&R) di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di negeri ini dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu harus dibangkitkan bagi memastikan R&R yang merupakan komponen penting di LTU dapat dilaksanakan demi keselesaan pengguna.

“Setakat ini belum ada lagi (maklum balas dari Pusat), tapi saya nak minta rakan-rakan Ahli Parlimen daripada Pahang untuk membangkitkan perkara ini.

“Dan saya harap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat juga memberi ruang yang secukupnya kepada mereka (Ahli Parlimen) untuk berbahas perkara ini,” katanya dalam sidang akhbat selepas merasmikan Program ‘Retreat’ Kepimpinan Masyarakat Orang Asli sempena Hari Orang Asli Sedunia peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.

Majlis dihadiri kira-kira 307 pemimpin yang terdiri daripada tok batin, pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Orang Asli (JPKKOA) dan setiausaha JPKKOA seluruh Pahang.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pihaknya difahamkan pembinaan R&R di LTU tidak dapat dilaksanakan berikutan kosnya yang dikatakan menelan belanja dua kali ganda daripada sebelumnya.

“Saya dapat tahu tiba-tiba ditiadakan, jadi saya faham mereka tidak mahu buatlah. Tapi saya difahamkan kenaikan kos dua kali ganda daripada kos asal. Tapi bagi saya itu soal lain yang penting keselesaan pengguna harus dijaga,” katanya.

Sementara itu, apabila ditanya tentang isu melibatkan dakwaan aktiviti pembersihan hutan di Sungai Lembing yang tular sejak semalam, beliau memberitahu, kenyataan lanjut akan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri tidak lama lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN