Waktu daftar masuk, keluar hotel Selangor tidak berubah

Waktu daftar masuk, keluar hotel Selangor tidak berubah

Waktu hotel
NG Suee Lim menyampaikan cenderahati kepada salah seorang peserta Festival of Wings 2024 dekat Taman Alam, Bukit Malawati, di Kuala Selangor, Selangor hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor belum bercadang untuk menetapkan dasar inap sekurang-kurangnya 23 jam sehari di hotel di seluruh negeri ini, justeru tempoh masa bagi mendaftar masuk dan keluar hotel di Selangor kekal seperti sebelum ini.

Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri peka dengan isu itu kerana tidak mahu sesuatu peraturan baharu menjejaskan ekosistem perniagaan dan penggiat industri hotel.

“Perkara itu secara teorinya mungkin dilihat nampak indah namun ia secara praktikalnya tidak mudah untuk dilaksanakan.

“Bagi saya, ia dianggap belum sesuai dilaksanakan dan tidak kondusif kerana pengusaha hotel perlu mengupah pekerja bagi melakukan kerja pembersihan semula yang mengambil masa antara dua atau tiga jam,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Festival of Wings 2024, hari ini.

Minggu lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menggesa pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Penginapan 23 jam sehari adalah perkara biasa di luar negara dan tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan.

Namun, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datin Christina Toh menyifatkan pelaksanaan dasar itu akan membawa kepada kos operasi lebih tinggi dan berkemungkinan menyebabkan kenaikan harga bilik.

Mengulas lanjut, Suee Lim menjelaskan, kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) turut akan mengadakan perbincangan dan sesi libat urus dengan penggiat industri hotel bagi mendengar pandangan sekali gus membuat satu ketetapan jelas.

“Sebelum sesuatu dasar dibuat, kita mesti mendengar pandangan mereka (pengusaha hotel) terlebih dulu kerana dan tidak boleh memberi tekanan.

“Apa yang lebih penting adalah soal kebersihan dan harga ditawarkan pengusaha hotel memuaskan hati semua pihak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, cadangan membangunkan hotel bertaraf tiga bintang ke atas dan antarabangsa di Taman Alam belum dapat dilaksanakan berikutan kekangan dihadapi termasuk mendapatkan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA).

“Kita tidak mahu projek yang dilaksanakan itu menjejaskan ekosistem semula jadi dan persekitaran kawasan tersebut.

“Namun, ada keperluan dan permintaan tinggi pengunjung untuk menginap di Kuala Selangor. Jika tiada hotel bertaraf bintang, mereka mungkin akan ke tempat lain dan hanya datang ke sini sekadar ‘touch and go’,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya