PETALING JAYA: Universiti Teknologi Petronas (UTP) menjadi universiti nombor satu Malaysia mendapat tempat dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025.
UTP dalam kenyataan memaklumkan, pencapaian itu melonjakkan UTP ke kelompok 200-250 daripada kedudukan sebelumnya dalam kelompok 301-350.
Katanya, lonjakan ketara 100 tangga itu meletakkan UTP sebagai universiti nombor satu di negara ini dan universiti swasta terkemuka di ASEAN.
“Sejak 2017, universiti ini secara konsisten meningkat dalam ranking, berganjak daripada kelompok 601-850 kepada 250 universiti teratas di dunia,” katanya.
Katanya, penekanan universiti terhadap pembelajaran di antara disiplin dan pendidikan berasaskan pengalaman membekalkan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan diperlukan untuk berkembang dalam dunia yang sentiasa berubah.
Sementara itu, Naib Canselor UTP, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, pencapaian itu kebanggaan besar bagi seluruh komuniti UTP, mencermin dedikasi dan komitmen teguh fakulti, kakitangan, pelajar dan alumni universiti.
Beliau menekankan fokus strategik UTP menjadi universiti berasaskan penyelidikan sambil mengekalkan komitmennya terhadap kecemerlangan pengajaran.
Katanya, usaha meluas universiti untuk bekerjasama dengan industri dan membina perkongsian kukuh di seluruh dunia, disertai peningkatan penyelidikan translasi, membolehkan UTP menghasilkan siswazah memenuhi permintaan industri dan bersedia menghadapi masa hadapan.
“Menyedari kemajuan pesat dalam kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini lain, UTP sedang mengadaptasi kaedah pengajaran dan pembelajaran baharu.
“Ini untuk memastikan graduan mempunyai atribut diperlukan untuk berkembang dalam landskap yang sentiasa berubah,” katanya.