UTM pamer inovasi terkini kepada pihak industri - Utusan Malaysia

UTM pamer inovasi terkini kepada pihak industri

AHMAD FAUZI Ismail (tengah) menekan butang sebagai gimik perasmian UTM FKT-Linked 2024 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga (FKT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan program UTM FKT- Linked 2024 bagi mempamerkan inovasi dan penyelidikan terkini kepada pihak industri.

Program anjuran Unit Penyelidikan, Inovasi, dan Pembangunan FKT adalah sebahagian daripada Pelan Strategik UTM Envision 2025 dan menawarkan platform eksklusif kepada pemain industri, organisasi dan agensi untuk meninjau kemudahan makmal berteknologi tinggi dan berinteraksi dengan kumpulan penyelidikan multidisiplin di UTM. 

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, program itu turut membuka peluang kerjasama baharu antara UTM dengan pihak lain.

“Tahniah kepada penganjur diketuai Prof. Madya Ir. Dr. Mazura Jusoh dan jawatankuasa yang berdedikasi dan berjaya mengumpul lebih 50 pemain industri menyertai program ini.

“Mendukung moto ‘Bridging Industry and Academia’,  program ini berjaya menghimpunkan pemegang taruh pelbagai sektor menyertai aktiviti seperti pameran, ceramah kerjaya, pertukaran memorandum persefahaman (MOU), pembentangan industri, serta sesi pleno yang menampilkan pengurus daripada penaja utama termasuk, Petronas dan ExxonMobil. 

“Program ini lebih daripada menjadi platform penyelidikan dan kerjasama kerana kami mengintegrasikan akademia, industri, kerajaan dan masyarakat bagi memacu inovasi efektif dan inklusif,” katanya ketika merasmikan program itu, di sini.

UTM FKT- Linked 2024 turut memperkenalkan segmen Ener-Comp’24 yang memberi peluang kepada golongan pelajar di negeri ini mempamerkan projek inovasi mereka dalam penjanaan tenaga bertujuan meningkatkan kecenderungan dan penglibatan dalam bidang sains dan teknologi. 

Selain itu, wakil industri berpeluang melawat makmal FKT bagi mendapat pengalaman langsung tentang penyelidikan serta meninjau pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.

Program itu mendapat sokongan Petronas, ExxonMobil, MISE Energy, Green Gas, MPRC, EnQuest dan Polygon Synergy Venture.

Program itu juga diharap membuka peluang baharu dalam bidang penyelidikan, konsultasi dan kolaborasi dinamik antara pihak terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya