UTM IPT pertama jadi ahli kongres WTUC - Utusan Malaysia

UTM IPT pertama jadi ahli kongres WTUC

MOHD. SHAFRY Mohd. Rahim (dua dari kiri) meletakkan telapak tangan pada iPad sebagai simbolik merasmikan UTM Global Connect 2024 di Persada Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar sejarah menjadi institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama bergelar ahli Kongres Universiti-universiti Teknologi Dunia (WTUC).

Sebagai ahli WTUC, UTM menerusi pejabat UTM Antarabangsa menggerakkan inisiatif memperkukuhkan hubungan kerjasama antara universiti di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran UTM Global Connect 2024.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, program itu membuktikan komitmen UTM dalam memacu inovasi dan memperkukuhkan kerjasama global di samping menyediakan platform dinamik untuk pertukaran idea serta mewujudkan peluang kolaborasi antara komuniti UTM dan rakan antarabangsa.

Menurutnya, program yang julung kalinya diadakan menandakan pencapaian penting dalam memajukan penyelidikan terkini, pendidikan transformatif dan penyelesaian teknologi perintis di samping menangani cabaran global dan mempromosikan pembangunan lestari.

“Program ini meliputi lima program utama di bawah satu bumbung, iaitu WTUC, New Academia Learning Innovations (NALI), The Industrial Art & Technology Exhibition (INATEX), One Day Seminar: Leaders Go Global dan Festival Inovasi. 

“WTUC sebagai acara ‘signature’ menghimpunkan peserta dari 40 universiti dari 25 negara. Bertemakan ‘Alliances for Diplomacy: Harnessing University Collaborations for Planetary Health’, WTUC memberi fokus terhadap usaha membina kerjasama global bagi menangani cabaran alam sekitar dan masyarakat yang kian mendesak,” katanya selepas merasmikan UTM Global Connect 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Bradford dan Rangkaian Universiti Teknologi Dunia, Prof. Shirley Congdon dan Pengarah UTM Antarabangsa, Prof. Madya Mohd. Ariffin Abu Hassan.

Menurut Mohd. Shafry, penganjuran program menjadi acara tahunan itu cukup signifikan kerana negara akan mempengerusikan Mesyuarat ASEAN pada tahun depan.

“Program ini penting dalam membincangkan cabaran kesihatan dan solusinya, antaranya ialah kemajuan teknologi menggunakan teknologi hijau. Kita memerlukan teknologi hijau bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber petroleum,” katanya.

Sementara itu, Congdon berkata, pemilihan UTM menjadi ahli WTUC adalah tepat kerana berperanan sebagai penggerak untuk menangani cabaran global dan mempromosikan pembangunan lestari.

“Cabaran tertentu yang perlu kita bincangkan adalah bagaimana para pemimpin bersama-sama berganding bahu mendepani isu geopolitik yang merentasi sempadan kerajaan dan dunia,” katanya.

Kira-kira 1,000 peserta dari 25 buah negara termasuk United Kingdom (UK), Jepun, Thailand dan Jerman menyertai program dua hari itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya