UTeM catat kemasukan pelajar teramai dalam sejarah

UTeM catat kemasukan pelajar teramai dalam sejarah

PROSES pendaftaran pelajar yang berjalan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatat peningkatan membanggakan bagi kemasukan pelajar baharu yang mengikuti program ijazah sarjana muda buat tiga tahun berturut-turut, bermula 2022 hingga 2024.

Kemasukan semester satu sesi 2024/2025 merekodkan seramai 2,896 orang hadir mendaftar semalam dan angka itu merupakan teramai dalam sejarah, sejak penubuhannya.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, pihaknya mencapai dua kejayaan besar iaitu menerima pendaftaran pelajar baharu teramai dalam sejarah dan lonjakan peningkatan berterusan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

“Jika dibandingkan bagi tiga tahun berturut-turut, kali ini merupakan puncak peningkatan bila mana 2022 kami menerima seramai 2,043 orang pelajar dan 2,530 orang bagi 2023.

“Corak peningkatan ini disebabkan UTeM selaku universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Malaysia terus menjadi pilihan dan buruan utama lepasan matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.

“Antara faktor lain disebabkan UTeM terus mencatatkan kejayaan cemerlang menjadi juara berganda dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) apabila mencapai kadar kebolehpasaran graduan (GE) 2023 sebanyak 97.7 peratus,” katanya.

Tambah Massila, bidang pengajian UTeM menepati keperluan dan permintaan semasa industri selaku penerima Anugerah Universiti Pilihan Majikan, baru-baru ini.

Jelasnya, seramai 999 pelajar mendaftar untuk mengikuti pengajian program teknologi kejuruteraan dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK).

“Manakala seramai 727 orang pelajar lagi mengikuti pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP).

“Bagi pelajar yang mendaftar mengikuti pengajian dalam bidang sains komputer dan teknologi maklumat di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) pula seramai 667 orang. Selebihnya mendaftar bidang pengurusan teknologi dan teknousahawanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) iaitu seramai 503 orang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya